Tuesday, December 30, 2008

BUKAN MASA BERPESTA SAMBUT TAHUN BARU

RENCANA
ARKIB : 29/12/2008
Oleh ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM

Langkah kerajaan membatalkan semua acara keramaian sempena tahun baru 2009 amat wajar. Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan telah memutuskan bahawa kerajaan tidak akan menganjurkan sebarang acara sambutan tahun baru.
Keputusan kerajaan dalam soal ini amat dialu-alukan dan bagi pihak rakyat ia menunjukkan bahawa keprihatinan kerajaan berkaitan dengan isu-isu semasa amat tinggi.

Kemelesetan ekonomi dan kedatangan tahun baru Islam 1430 Hijrah yang hampir sama waktunya menjadi pertimbangan kukuh untuk kerajaan daripada terlibat dengan acara keramaian tahun baru. Malah kita juga sedang bersedih dengan kemangkatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tunku Abdul Rahman.

Kita berhadapan dengan pelbagai kisah sedih sejak akhir-akhir ini. Ingatan kita masih kuat dengan tragedi runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan lima nyawa. Malah trauma dan kesan tragedi tersebut masih dapat dilihat dan begitu kuat mengganggu mangsa terlibat.

Kemelesetan ekonomi dunia yang begitu mengganggu perancangan dan kelancaran perkembangan ekonomi negara kita juga menjadi alasan kukuh kenapa kita menolak semua acara keramaian sempena tahun baru 2009 dan sambutan Maal Hijrah 1430.
Bukan masanya untuk rakyat diajak bergembira ketika musibah melanda negara dan dunia. Kita perlu memahami dan akur bahawa masa untuk berpesta ketika kedatangan tahun baru perlu dikeluarkan daripada agenda.

Penganjuran pesta tahun baru tidak banyak memberi kesan positif kepada rakyat. Ia sekadar ruang dan kesempatan untuk bergembira dan mengizinkan segala bentuk pembaziran, maksiat, pergaulan bebas dan kelekaan melampau. Anak-anak muda memang menanti waktu dan ketika seumpama ini untuk melepaskan geram.

Pihak swasta juga perlu akur dan menghormati keputusan kerajaan ini. Tidak ada maknanya jika kerajaan tidak terlibat dengan penganjuran pesta tahun baru tetapi peranan itu diambil alih oleh pihak swasta.

Memang tidak dinafikan akan muncul program atau aktiviti sambutan tahun baru yang dianjurkan oleh kumpulan tertentu. Dalam soal ini kerajaan dan pihak berkuasa tempatan perlu memastikan ketelitian mengeluarkan permit atau kebenaran sambutan pesta tahun baru.
Kita tidak mahu anak-anak remaja terus disogok dengan hiburan yang tidak beretika dan melalaikan sedangkan situasi negara amat tidak mengizinkan untuk sebarang acara keramaian. Pihak berkuasa perlu bertegas dan tidak memberi ruang kepada mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta tahun baru.

Penganjuran pesta tahun baru tidak banyak membantu untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan khasnya kepada remaja. Mereka sekadar berpesta, berpeleseran dan terkial-kial tanpa sebarang pedoman. Malah pesta-pesta seperti ini menjadi medan menularnya penyalahgunaan najis dadah, minuman keras, seks bebas dan boleh membawa kepada bibit-bibit perlakuan jenayah.

Sepanjang tahun 2008 negara telah melalui masa-masa sukar dan cabaran- cabaran yang begitu mengganggu pembangunan negara. Kemelesetan ekonomi akan membawa kepada meningkatnya kes-kes pengangguran dan kes pembuangan pekerja.


Tuntutan

Suasana politik negara juga tidak putus-putus dilanda permasalahan. Pelbagai tuntutan dan tindakan mensabotaj keselamatan negara dari mereka yang berkepentingan dilihat berterusan. Undang-undang semakin tidak dihormati malah dipersendakan.

Negara seperti berada dalam suasana terganggu kesejahteraannya. Pemimpin negara tidak henti-henti memikirkan jalan dan cara terbaik untuk meredakan keadaan. Walaupun pelbagai ingatan dan pesanan dibuat tetapi masih ada lagi pihak yang tampil mencabar undang-undang sehingga boleh mengancam keselamatan negara.

Sepanjang tahun 2008 juga kita berhadapan dengan kemunculan golongan pendesak dari kalangan parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan tertentu yang kononnya menuntut hak dan kesamarataan. Mereka didalangi oleh sikap buruk dan khianat para pemimpin yang mengeksploitasi apa saja yang sempat termasuk kanak-kanak.

Banyak wang rakyat dibelanjakan untuk tujuan mengatasi isu-isu remeh ini. Malah isu-isu songsang ini berlarutan sehinggalah berakhirnya tahun 2008. Justeru, amat tidak wajar untuk kita terus memikirkan sebarang pesta atau acara keramaian sempena kehadiran tahun 2009.
Kesempatan yang ada perlu diisi dengan majlis-majlis keagamaan dengan memperbanyakkan doa agar tahun 2009 bakal membawa sinar kebahagiaan untuk kita semua. Rakyat yang berbilang agama boleh memainkan peranan mengikut kepercayaan masing-masing tetapi tujuan serta matlamatnya sama iaitu memohon kesejahteraan negara.

Kemangkatan Tuanku Ja'afar juga menambahkan lagi kesedihan rakyat khasnya warga Negeri Sembilan. Ketika rakyat berkabung dan meratapi pemergian Tuanku Ja'afar, maka amat manis jika kita tidak terlibat dengan sebarang acara keramaian yang begitu menyimpang dengan norma dan etika murni agama.

Justeru, begitu banyak alasan dan sebab mengapa kerajaan membatalkan semua acara keramaian dan pesta sempena kedatangan tahun baru. Tindakan itu perlu dihormati oleh semua pihak termasuk pihak swasta.
Kita bukan berada di zon selesa untuk terlonjak-lonjak dan terkial-kial kegembiraan tetapi kita sedang berhadapan dengan ujian serta cabaran yang menuntut kesabaran yang tinggi.

No comments: